27 September 2009

Pulang ke desa menyambut lebaran

SELAMAT HARI RAYA EIDULFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
Lihat gambar Hari Raya Eidulfitri 2009

Tanggal 29 Ramadhan 1430 bersamaan 19 September 2009 aku bertolak balik ke Kampung Sungai Tengas, Selama Kedah. Aku menjangkakan bahawa pilihan aku untuk pulang lewat bagi mengelak kesesakan lalulintas adalah tepat tapi ramalan aku meleset sekali. Aku terpaksa menempuh kesesakan selama lapan jam untuk sampai ke kampung sedangkan hari biasa cuma lima jam sahaja. Aku cuba untuk mengikut jalan lama (jalan persekutuan) tapi lagi teruk daripada kesesakan di lebuhraya.

Aku sampai di kampung tepat jam 4.20 petang. Lemang telah pun masak tapi lauknya belum lagi berusik. Alangkah penat rasanya seluruh badanku, mujurlah aku dan isteri merencana supaya rendang ayam dan daging di masak siap di Kuala Lumpur. Maka pada malam terakhir Ramadhan 1430 kami berbuka dengan lemang dan rendang yang aku bawa balik dari Kuala Lumpur.

Selepas solat raya aku bersama anak-anak dan isteri seperti biasa akan menziarahi keluarga sebelah aku dahulu kemudian barulah giliran keluaraga Wak Sahir. Gambar di atas diambil dirumah abang isteriku yang sulung iaitu Mohd. Nor bin Sahir dimana sebahagian dari keluarga Wak Sahir telah berkumpul untuk makan malam. Pada malam itu juga kami telah menghubungi sepupu isteriku di Klaten, Jawa Tengah untuk bertanya khabar dan mengucap Selamat Hari Raya.

Aku pulang ke Kuala Lumpur pada Hari Raya ke 4.

13 September 2009

Walaupun jauh tapi dekat rasanya

Assalamu'alaikum kepada yang membaca blog ini terutama saudara mara yang berada di Magelang, Jawa Tengah. Kalau dahulu aku mengirim berita atau surat untuk bertanya khabar mengenai saudara mara Wak Sahir di Jawa Tengah, aku terpaksa menunggu sebulan lebih untuk mendapat jawapan balas. Dah tu pulak orangnya asyik bertukar-tukar sebab bukan semua yang boleh faham surat yang aku kirimkan itu maklumlah bahasanya lain.

Sekarang ni begitu mudah sekali sebab teknologi telekomunikasi dapat menghubungkan segalanya. Segala maklumat atau berita dapat aku sampaikan melalui SMS sahaja. Lagi pun pengantaranya juga memang faham akan bahasa yang aku kirimkan. Aku sering berutus berita mengenai keluarga di Malaysia melalui anak sepupu isteri aku, Eko yang tinggal berhampiran dengan Yogjakarta.