20 December 2009

Cuti-cuti Malaysia

Pada 14 Disember 2009 yang lalu setelah selesai anak sulung ku menempuhi peperiksaan SPM maka aku telah membawa keluarga pergi ke Tanah Tinggi Cameron untuk menghirup udara yang nyaman lagi sejuk di sana. Bertolak pada jam 6.00 pagi dari Kuala Lumpur menuju ke Cameron Highland melalui Tapah dan sampai di Tanah Rata lebih kurang jam 9.00 pagi. Merata tempat telah kami singgah bermula dengan ladang teh, strawberry gerai-gerai jualan dan sebagainya. Kami mula turun dari Cameron Highland pada jam 1.00 tengahari melalui Simpang Pulai dan terus balik ke kampung.

Pada 18 Disember 2009, sekali lagi aku sekeluarga bersama anak cucu Wak Sahir yang lain ke Penang untuk menziarahi salah seorang dari cucu Wak Sahir iaitu Md. Zaki Mahathir. untuk memenuhi permintaan anak-anak aku maka kami pergi dengan menaiki Feri dan balik dengan menggunakan jambatan.

Sila lihat gambar

09 November 2009

Memancing di Perairan Pulau Ketam

Pada 8 November 2009 (Ahad) yang lalu aku bersama dua orang kawan sepejabat menuju ke Perairan Pulau Ketam, Kelang untuk mencuba nasib mencari seekor dua ikan yang ada di dalam laut di sana. Seumur hidup aku, inilah pertama kali aku turun ke laut untuk memancing dan ini juga pertama kali aku menggunakan batang pancing yang mengunakan mesin. Masa aku budak-budak dulu aku memancing menggunakan batang bertam atau buluh saja.

Alhamdulillah, dengan tak disangka-sangka menjadi pula pancingan kami pada hari tersebut. Aku yang tak pernah memancing pun dapat juga menarik ikan jenahak, ikan merah, ikan duri dan sebagainya. Kawan aku si Tebri tu dapat naikkan ikan pari seberat lebih kurang 4 kilo manakala Ust. Hamid pula banyak juga jenahak dinaikkan bersama ikan duri dan lain-lain. Pendek kata, memang berbaloi-baloi tangkapan kami pada hari tersebut.

Ikan pari yang si Tebri dapat kami bawa ke pejabat untuk dibuat kari dan makan tengahari beramai-ramai. Ada juga kawan aku kat pejabat tak percaya yang aku pergi memancing kat laut. Bot yang kami naik tu adalah kepunyaan Tebri. Si Tebri ni memang kaki pancing dan merupakan ahli kelab PENGAIL Kelang, Selangor.

04 October 2009

Open House d' Eidulfitri 2009

Semalam, tanggal 3 Oktober 2009 aku telah mengadakan rumah terbuka sempena menyambut Eidulfitri 2009. Selain dari jiran tetangga, kawan sepejabat, sahabat lama dan hampir semua ahli keluarga aku dan keluarga Wak Sahir telah hadir untuk meraikan majlis tersebut. Ini merupakan kali pertama aku mengadakan open house secara besar-besaran. Alhamdulillah, dengan berkat open house ini dapat aku merapatkan silaturrahim dengan seluruh ahli keluargaku yang berada di sekitar Lembah Kelang ini disamping kawan lama yang telah terpisah sejak 22 tahun lalu. InsyaAllah akan aku kekal tradisi ini pada tahun-tahun akan datang.










Gambar tetamu yang hadir pada open house aku.

27 September 2009

Pulang ke desa menyambut lebaran

SELAMAT HARI RAYA EIDULFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
Lihat gambar Hari Raya Eidulfitri 2009

Tanggal 29 Ramadhan 1430 bersamaan 19 September 2009 aku bertolak balik ke Kampung Sungai Tengas, Selama Kedah. Aku menjangkakan bahawa pilihan aku untuk pulang lewat bagi mengelak kesesakan lalulintas adalah tepat tapi ramalan aku meleset sekali. Aku terpaksa menempuh kesesakan selama lapan jam untuk sampai ke kampung sedangkan hari biasa cuma lima jam sahaja. Aku cuba untuk mengikut jalan lama (jalan persekutuan) tapi lagi teruk daripada kesesakan di lebuhraya.

Aku sampai di kampung tepat jam 4.20 petang. Lemang telah pun masak tapi lauknya belum lagi berusik. Alangkah penat rasanya seluruh badanku, mujurlah aku dan isteri merencana supaya rendang ayam dan daging di masak siap di Kuala Lumpur. Maka pada malam terakhir Ramadhan 1430 kami berbuka dengan lemang dan rendang yang aku bawa balik dari Kuala Lumpur.

Selepas solat raya aku bersama anak-anak dan isteri seperti biasa akan menziarahi keluarga sebelah aku dahulu kemudian barulah giliran keluaraga Wak Sahir. Gambar di atas diambil dirumah abang isteriku yang sulung iaitu Mohd. Nor bin Sahir dimana sebahagian dari keluarga Wak Sahir telah berkumpul untuk makan malam. Pada malam itu juga kami telah menghubungi sepupu isteriku di Klaten, Jawa Tengah untuk bertanya khabar dan mengucap Selamat Hari Raya.

Aku pulang ke Kuala Lumpur pada Hari Raya ke 4.

13 September 2009

Walaupun jauh tapi dekat rasanya

Assalamu'alaikum kepada yang membaca blog ini terutama saudara mara yang berada di Magelang, Jawa Tengah. Kalau dahulu aku mengirim berita atau surat untuk bertanya khabar mengenai saudara mara Wak Sahir di Jawa Tengah, aku terpaksa menunggu sebulan lebih untuk mendapat jawapan balas. Dah tu pulak orangnya asyik bertukar-tukar sebab bukan semua yang boleh faham surat yang aku kirimkan itu maklumlah bahasanya lain.

Sekarang ni begitu mudah sekali sebab teknologi telekomunikasi dapat menghubungkan segalanya. Segala maklumat atau berita dapat aku sampaikan melalui SMS sahaja. Lagi pun pengantaranya juga memang faham akan bahasa yang aku kirimkan. Aku sering berutus berita mengenai keluarga di Malaysia melalui anak sepupu isteri aku, Eko yang tinggal berhampiran dengan Yogjakarta.

21 August 2009

Salam Ramadhan Al-Mubarrak


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarrak 1430 semoga amalan pada Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun terdahulu.

16 July 2009

Pakde Hamzah buka bisnes makan...

Berita ini buat tatapan sedulur Jawa Tengah Indonesia. Sudah dua minggu berlalu Pakde Hamzah berulang-alik dari Pandan ke Cyberjaya untuk menjalankan bisnes barunya iaitu menjual makanan di Pengkalan Bas Rapid KL di Cyberjaya. Sekarang ini Bukde Maimunah bersama Pakde Mahathir pun berada di Cyberjaya untuk memberi tunjuk ajar masak-memasak pada Pakde Hamzah.

Diharapkan semoga Pakde Hamzah berjaya dalam bidang baru yang diceburinya ini, InsyaAllah.

30 June 2009

Berehat seketika...


Pagi Ahad 28 Jun 2009. Setelah puas aku dan keluarga menjamah buah-buahan kat kampung maka kami pun pulang semula ke Kuala Lumpur. Perjalanan pulang mengambil masa 5 jam sebab aku memandu mengikut had laju yang ditetapkan saja.

Selepas 3 jam berjalan maka mata aku pun mulalah mengantuk maka kami pun berehat di Hentian R & R Tapah. Sempatlah aku meluruskan kaki yang lengoh-lengoh tu.

29 June 2009

Musim durian ...

Pada 26 Jun 2009 iaitu hari Jumaat yang lalu aku berkesempatan untuk pulang ke kampung untuk menjamah buah-buahan tempatan disamping menziarahi keluarga Wak Sahir serta ahli keluarga aku sendiri.

Sebenarnya berat rasa hati untuk pulang kekampung dalam masa cuti hujung minggu kerana letih tak dapat nak rehat. Walau bagaimana pun aku bersyukur dapat juga pulang untuk makan durian dari dusun keluarga Wak Sahir.

Aku sendiri bersama isteri pergi memungut durian dan rambutan di dusun. Memang berbaloi juga aku balik ke kampung pada musim durian kali ni. Rasa-rasanya hampir 60 biji durian dan 1 guni rambutan dapat aku kumpul untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur untuk di sedekah kepada jiran dan kawan-kawan kat pejabat.

22 June 2009

Sahabat lama

Assalamu'alaikum 2u all yang membaca blog ini.

Dengan tidak disangka-sangka pada malam tadi iaitu lebih kurang jam 10.00 ketika anak-anak aku sudah bersiap sedia untuk masuk beradu, pintu rumah aku telah diketuk. Ketika itu aku sedang menonton tv dengan berseluar panjang tanpa baju maka aku pun membuka pintu rumah. Maka sahabat ku ini terus memberi salam dan menyapa aku dengan bertanya "hang kenai aku lagi tak". Alangkah terkejutnya aku bila melihat Rashid dan Gayah sekeluarga berada dihadapan pintu rumah ku.

Sebenarnya dah lama aku mencari diaorang tapi tak tahu dimana diaorang tinggal. Aku ingat mereka tinggal kat kampong, rupa-rupanya meraka ada kat KL ni juga. Mereka ini merupakan jiran aku semasa aku tinggal di Taman Sri Nanding, Ulu Langat Selangor sekitar tahun 1992-1994. Dengan pertemuan ini aku merasakan bahawa seolah-olah sekarang adalah musim bertemu sahabat lama.

17 June 2009

Sahabat lama


Inilah saudara Anwar yang telah aku katakan tu. Beliau merupakan seorang yang periang. Sebelum aku jumpa beliau aku tak dapat bayangkan rupanya setalah 27 tahun berpisah tapi bila aku tengok gaya beliau berjalan maka betullah memang itulah kawan aku si Anwar Abd. Hadi.

05 June 2009

Kembali lagi

Salam 2u all yang membaca blog aku ni. Lega rasanya bila dapat berehat sikit dan dapatlah aku mengadap komputer untuk mengemaskini blog ini.

Cuti sekolah kali ni aku tak dapat pulang ke kampong kerana sibuk dengan kerja. Oleh yang demikian cerita-cerita mengenai keluarga Wak Sahir tak dapatlah aku ceritakan.

Baru-baru ini aku dapat bertemu kembali kawan lama semasa bersekolah di Sekolah Menengah Serdang, Kedah dulu iaitu saudara Anwar Abd. Hadi. Aku bersamanya bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Pada mulanya aku telah dihubungi oleh saudara Ahmad Rafidi Harun melalui email mengatakan bahawa saudara Anwar telah menghubunginya. Maka dari situlah aku dapat contact number saudara Anwar.

Nak dijadikan cerita, baru-baru ni saudara Anwar telah datang ke stadium bowling padang berhampiran dengan pejabat aku maka bertemu semula kami selepas berpisah selama 27 tahun iaitu setelah tamat tingkatan lima pada tahun 1982.



25 March 2009

Pulang bercuti

Salam 2u all. Dah lama aku tak update blog ni kerana sibuk dengan tugas-tugas hakiki. Maklumlah tugas sebagai kuli batak macam aku ni memang begitu, kalau ada kerja bukan main banyak sekali tapi kalau tak ada kerja dah bosan pulak sampai taktau nak buat apa.

Minggu lepas sempena cuti persekolahan, sempat juga aku pulang ke kampong walaupun hanya 4 hari sahaja. Walau bagaimana pun syukurlah kerana dapat juga menjenguk ahli keluarga Wak sahir dan juga keluargaku sendiri. Alhamdulillah mereka semua sihat-sihat belaka.

18 February 2009

Aktiviti anak dan cucu Wak Sahir


Beginilah gelagat anak cucu Wak sahir di aktiviti senaman pagi yang telah diadakan hadapan kediaman kami baru-baru ini. Kalaulah dari kecil dipupuk semangat untuk bersenam kan baik, taklah jadi macam aku bila dah dapat penyakit baru teringat nak bersenam.

15 February 2009

Sekeping Gambar Kenangan

Dah lama aku tidak mengemaskini blog ini. Sebenarnya aku terlalu sibuk dengan kerja-kerja percetakan yang tak sudah sudah. Hari ini ada sedikit kelapangan untuk aku membuat sedikit catatan kisah aku dulu-dulu. Kalau nak tahu sedikit kisah hidup ku sila klik http://www.geocities.com/lanarwebsite/peribadi.htm

Gambar di atas ni diambil pada tahun 1981. Ketika itu aku berada di tingkatan 4. Cubalah kau orang cari yang mana satu gambar aku.

Pada ketika itu badanku memang slim habis berbanding sekarang. Apa boleh buat makan lalu je!!!

Aku berdiri di belakang tengah

05 January 2009

Selamat Menyambut Tahun Baru

Aku merasakan tidak terlewat untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 1430 H. dan 2009 M. semoga kalian semua sentiasa dalam keadaan sihat wal'afiat.

Kelmarin aku bercuti untuk menguruskan anak masuk pra sekolah. Anak keempat aku tu sebelum ini masuk Tadika Islam dan tahun ni pula aku nak bagi dia merasai suasana persekolahan yang sebenar maka aku hantar masuk pra sekolah dibawah Kementerian Pendidikan.

Seronok juga lihat gelagat anak-anak dihari pertama persekolahan. Anak aku ni tergolong dalam kategori ok la... sebab aku tinggal je dan perhati dari jauh. Ada yang melalak nak ikut bapa sehingga bapa kena masuk duduk dalam kelas belajar bersama anak. Ada juga yang tarik kain emak supaya maknya tidak tinggalkannya. Huh... kalau divideokan memang syok. Aku terlupa nak bawa kamera kalau tidak dapat kalian semua tengok gelagat mereka.